There was an error in this gadget

Thursday, July 9, 2009

Syor buat konsert di luar bandar

Syor buat konsert di luar bandar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
BIARPUN masih ramai artis tempatan khusus generasi muda tidak menitikberatkan kepentingan berpersatuan, namun Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) meneruskan usaha dan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan artis.

Sejak ditubuhkan pada 2000, Karyawan membuktikan tindakan yang dilakukan adalah serius dan terbuka dalam menerima pandangan serta masalah anggota mereka.

Selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim pada 25 Jun lalu, Karyawan yang diketuai Presiden, Freddie Fernandez memulakan langkah seterusnya dengan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-10 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Kata Freddie, aktiviti seperti AGM wajib diadakan pada setiap tahun untuk menyampai maklumat pada anggota mengenai aktiviti persatuan yang sudah dijalankan pada tahun berkenaan.

Malah, menerusi AGM laporan kewangan persatuan dapat dibentangkan dengan jelas tanpa mengundang keraguan anggota.

Dalam pada itu, AGM memberi peluang pada anggota untuk memberi sebarang pandangan, cadangan mahupun luahan perasaan.

“Fokus Karyawan kini lebih kepada usaha membantu anggota yang terbabit dalam bidang muzik. Berdasarkan jumlah penyanyi yang makin bertambah, kehidupan mereka bertambah teruk apabila tidak mempunyai lagu atau album baru.

“Walaupun segelintir penyanyi bernaung di bawah syarikat rakaman, tetapi ada antara mereka yang berasa dipinggirkan. Pada AGM kali ini, kami ada menerima cadangan daripada anggota agar Karyawan membawa mereka mengadakan persembahan di luar bandar.

“Apa yang berlaku, kebanyakan persembahan di bandar dibuat secara percuma dan ia memberi kesan, peminat tidak mahu membayar tiket. Menerusi persembahan di luar bandar, ia dapat dijalankan secara jelajah.

“Ini sebenarnya memberi peluang pada artis untuk mendapat pendapatan selain persembahan sebegini membantu menambah kewangan persatuan.


“Dalam membantu anggota, Karyawan juga berusaha memikirkan pelbagai aktiviti yang dapat menambah kewangan tabung persatuan.

“Mungkin menerusi laman web, Karyawan dapat menjalankan beberapa aktiviti atau penulis skrip yang menjadi anggota Karyawan dapat menyumbang 10 peratus bayaran diterima kepada persatuan,” katanya.

Untuk mengembangkan peranan persatuan, Freddie menyatakan Karyawan akan menubuhkan biro baru iaitu animasi yang menjaga kebajikan pereka animasi. Katanya, perkembangan bidang hiburan turut menyaksikan jumlah pereka animasi bertambah termasuk kartunis.

Sebelum ini, Karyawan menubuhkan Biro Penulisan Skrin untuk penulis skrip dan juga memberi perhatian pada pembabitan artis bukan Melayu menyertai Biro Artis India (ditubuhkan sejak dua tahun lalu) dan Biro Artis Cina (enam bulan lalu).

Hingga kini, Karyawan dianggotai 70 peratus karyawan muzik manakala 30 peratus daripada bidang lakonan.

“Saya percaya fungsi biro baru seperti penulisan skrin dan Cina sebelum ini dapat menarik lebih ramai artis menyertai Karyawan. Malah, menerusi pembabitan artis bukan Melayu, ia membuka ruang pada Karyawan untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai aktiviti.

“Karyawan juga ingin menyatakan penghargaan kepada Dr Rais kerana memberi geran sebanyak RM100,000 untuk persatuan menjalankan operasi.

“Apa yang saya harapkan, artis tempatan mendapat lebih banyak peluang untuk menambah pendapatan dan jumlah penerima skim pencen ditambah,” katanya.

Timbalan Presiden, Radhi Khalid pula berkata kebajikan pelakon dalam Karyawan tidak diabaikan.

Seperti penyanyi dan komposer, Karyawan berusaha memperjuangkan nasib pelakon termasuk mendapatkan royalti untuk lakonan menerusi filem mahupun drama yang diulang tayang.

“Karyawan ada mengadakan perjumpaan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini. Pada pertemuan itu, kami turut membincangkan soal royalti pelakon.

“Menteri memberikan respons positif dan beliau berpendapat satu undang-undang mengenai perkara berkenaan perlu diwujudkan. Dalam menumpukan soal royalti, Karyawan masih berusaha mendapatkan insurans untuk pelakon,” katanya.

No comments:

Post a Comment