There was an error in this gadget

Monday, March 16, 2009

Senang berusaha sendiri- Kumpulan Kaki

ANGGOTA Kaki terdiri dari kiri; Liey, Eddie dan Lan.


ANGGOTA Kaki terdiri dari kiri; Liey, Eddie dan Lan.
Kumpulan Kaki yakin bersandarkan lagu Sahaja dan Kalau Aku Hero KALAU disebut nama komposer yang menggunakan nama pena Adinda Amiro mungkin ada yang masih ingat karya komposer ini pernah meledak suatu ketika dulu. Lagu seperti Bukan Niatku dendangan Saleem Iklim dan Mentari Muncul Lagi nyanyian kumpulan Slam antara ciptaannya yang mendapat sambutan. Agak lama menyepi, komposer bernama penuh Saidin Omar ini cuba menjadikan kumpulan Kaki yang ditubuhkan awal tahun lalu sebagai bahan eksperimen terbarunya.

Single Permaidani 2 menjadi pertaruhan sulung untuk kumpulan yang dianggotai tiga orang lelaki terdiri daripada Eddie, Liey dan Lan. Liey dan Lan adalah saudara kembar. Kumpulan Kaki juga pernah muncul dalam album kompilasi Wakaf Melayu baru-baru ini. Selain lagu Permaidani 2, kumpulan ini turut bersandarkan kepada dua lagu lagi iaitu Sahaja dan Kalau Aku Hero. Memilih lagu berbentuk ketuhanan dan kehidupan, Kaki ingin terus menjadi tunjang dalam memartabatkan legasi corak persembahan kumpulan Kopratasa yang pernah mengalunkan tema lagu yang sama. Permaidani 2 dirujuk sebagai sekuel judul yang sama pernah dipopularkan Aris Ariwatan sebelum ini. Menurut Eddie atau nama sebenarnya Ismadi Ismail, pemilihan nama Kaki adalah kata sepakat anggota yang lain.

Katanya, Kaki memberi simbolik kepada anggota badan utama yang menjadi nadi penggerak kepada perjalanan seharian kita sebagai manusia. “Kaki letaknya di bahagian bawah yang banyak menanggung beban dan tanggung jawab untuk kita mencapai tujuan dan kejayaan dalam kehidupan. Album single Kaki diterbitkan di bawah produksi kami sendiri. Kami juga mempunyai asas yang kukuh menggunakan nama Kaki kerana berpendapat perkataan itu sesuai dengan pelbagai lapisan masyarakat, fahaman, kepercayaan dan budaya,” katanya. Biarpun mempunyai kerjaya tetap, mereka tegar mengharungi dunia seni tanpa sebarang perasaan prejudis. Sedar diri bukan hadir sebagai peserta realiti TV yang menerima tuah segera, Kaki ingin menyahut cabaran arus perdana.

Malah tanpa bantuan Pengurus atau Pegawai Perhubungan Awam, kumpulan Kaki sanggup meredah untuk bertemu rakan media sendiri jika itu saja pilihan terakhir yang ada di depan mata. Jelas Eddie, perkembangan band indie dan penguasaan artis realiti kebelakangan ini menjadi pembakar semangat untuk Kaki positif ingin bersaing di bawah paksi seni. “Kami harus akui yang bermula daripada bawah dan tidak mempunyai banyak hubungan dengan orang penting di dalam dunia seni.
Mujur kami menyertai persatuan Karyawan dan Kelab My Selebriti. Daripada situ, kami selalu menyertai projek anjuran pertubuhan itu selain mengambil kesempatan mewujudkan hubungan baik dengan media dan mendapatkan pendedahan awal. “Kepercayaan Adinda Amiro juga antara kunci yang menguatkan perasaan kami untuk tegar berjuang sekarang biarpun diyakini keadaan pasaran album sekarang sangat sukar. Selain itu, nasihat dan bantuan daripada rakan artis seperti Ifa Raziah, Salwa Abdul Rahman, Ayati Tasrip, Azizul Khamis dan Dior Shahril sangat kami hargai,” kata Eddie.
Mempunyai misi untuk terus memperjuangkan irama Melayu biarpun industri seni bergelut dengan kemasukan lagu asing hingga diwujudkan petisyen 90:10, bertujuan mengehadkan pengaliran lagu bukan ciptaan tempatan daripada terus berkembang tanpa sekatan, Kaki tak gentar untuk terus memberanikan diri. Malah idola mereka, Kopratasa turut memberi bimbingan awal tahun ini. “Pembabitan kami menerusi kompilasi album Wakaf Melayu sebagai manifestasi meyakinkan lagu kita tidak sesekali akan pupus. Harapan Kaki juga kerana mahu mengangkat lagu Melayu biarpun kebanjiran lagu seberang dan antara bangsa sudah berleluasa. “Lagu kami sudah mula diputarkan di Suria FM, KL FM, Suria FM dan Selangor FM. Kami sudah menghantar lagu ke stesen popular seperti Hot FM dan Era FM, tapi tidak pasti sama ada lagu kami sudah dimainkan atau belum,” kata Eddie mengakhiri perbualan.
Info Kaki
Ditubuhkan sejak 1 Januari 2008
Mendapat kepercayaan Adinda Amiro dan Duar.
Jenis muzik yang diperjuangkan mengadunkan muzik orkestra, ‘flute’ dan instrumen Melayu.
Lirik lebih terarah kepada konsep ketuhanan dan kehidupan.

No comments:

Post a Comment